26 April 2008

Kenyataan Rasmi Berkenaan Pemimpin Lompat Parti


Sesuatu yang memeranjatkan saya telah sampai ke telinga ini dari kengkawan kita. Baru tiga hari saya keluar dari Hospital Tawakal dah bermacam perkhabaran saya terima. Ada yang menyenangkan dan ada pula yang sebaliknya. Tetapi ada satu perkhabaran yang sungguh sensasi. Bak kata omputeh 'breaking news'.

Ada desas desus yang mengatakan bahawa Pemangku Ketua UMNO Cawangan Desa Jaya akan beralih arah dan melompat parti untuk menjadi ahli PKR (????).

Beberapa orang kengkawan telah bertanya kepada saya sama ada ianya benar atau cuma khabar angin?

Biarlah saya nyatakan pendirian saya sekarang, biar semua orang tahu.

Ingin saya nyatakan di sini bahawasanya saya masih lagi seorang ahli UMNO dan tak mungkin saya akan mengkhianati parti yang telah sebati di dalam darah daging saya ini.

Mungkin desas desus ini sengaja diada-adakan memandangkan tahun ini ada pemilihan di peringkat cawangan. Muslihat disebaliknya mungkin untuk memburuk-burukkan nama saya.

Kepada yang memulakan khabar angin ini saya minta hentikanlah. Janganlah memecah belahkan lagi perpaduan orang Melayu khusus nya di Desa Jaya ini.

Mari lah kita sama-sama mengambil ikhtibar dan bekerjasama untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.

Wassalam

Nasaruddin Bin Hj. Ahmad,
Pemangku Ketua UMNO,
Cawangan Desa Jaya,
Bahagian Subang

Multimedia