Memaparkan catatan dengan label Laporan Program. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Laporan Program. Papar semua catatan

03 November 2008

Majlis Mesra Aidil Fitri Meriah

Lihat Album: Majlis Mesra Aidil Fitri 2008 Anjuran Bersama UCDJ & UCDJW

DESA JAYA, 31 Okt. - Majlis yang dianjurkan secara bersama oleh UMNO Cawangan Desa Jaya dan Desa Jaya Wawasan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran begitu ramai tetamu-tetamu jemputan dan ahli-ahli UMNO setempat.

Selain meraikan Aidil Fitri, majlis turut meraikan 5 orang bakal haji yang akan berlepas ke tanah suci keesokan harinya. Mereka adalah Hj. Genger dan isteri, En. Mohamed Yahya dan isteri serta Hjh. Norsiah.

Disamping itu juga, majlis turut meraikan Ketua Cawangan, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Cawangan Desa Jaya yang telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa di peringkat Bahagian.

Majlis diserikan dengan kehadiran pimpinan UMNO Bahagian Subang, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Subang.

24 Mei 2008

Majlis Dialog / Wacana Politik Pemuda Subang

Bersama Ketua Pemuda UMNO Bhgn. Subang, Megat Firdouz
dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo.


Malam tadi saya pergi mengikuti majlis dialog / wacana politik yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Subang.

Bagi yang tak tahu apa itu 'wacana', ini maksudnya dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga :

1. keseluruhan tutur yg merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan; 2. kesatuan fikiran yg utuh, sama ada dlm bentuk lisan (spt pidato, khutbah) atau tulisan (spt surat, artikel, novel, cerpen): kita merindui dunia subur kritikan sastera yg dibajai oleh pengetahuan tentang teori dan ~ sastera yg mendalam dan pembacaan karya sastera yg banyak.

Kali ini majlis diadakan di Kelab Golf Monterez, Shah Alam. Kebiasaannya kalau majlis macam ni, buat kat Kelab Golf Seri Selangor. Entah kenapa orang bahagian ni suka buat program di kelab-kelab golf ni. Mungkin ramai yang jadi ahli kelab golf ini makanya dapatlah diskaun istimewa kalau guna kemudahan kelab.

Apa kata kalau ada ahli MT atau Pak Lah sendiri nak turun Subang lepas ni, gunakan Dewan UMNO Desa Jaya pulak.

Program ini hanya bermula pada jam 9.30 walaupun jadual asalnya adalah pada pukul 8 malam. Tapi tujuan dimulakan program itu jam 8 malam pun kerana memang telah menjadi budaya ahli-ahli UMNO untuk tiba lewat dari yang dijadualkan dalam setiap program. Budaya lewat inilah yang perlu dihapuskan, sebagaimana yang ditegaskan oleh Abg. Megat dalam ucapannya.

Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dalam ucapannya pula menceritakan kembali isu-isu yang dikatakan menyumbang kepada kekalahan BN di Selangor. Beliau meluahkan rasa kebimbangannya jika Anwar Ibrahim memegang tampuk pemerintahan dengan membawa agenda 'ketuanan rakyat'. Baginya, ketuanan rakyat itu akan menjadikan Malaysia sebuah negara republik seperti di Singapura. Ketika itu, agama Islam hanya akan menjadi satu agama yang sama sahaja dengan agama-agama lain pada pandangan kerajaan.

Lepas Dato' Seri berucap, pemuda yang hadir diberikan peluang untuk mengemukakan soalan. Sudahnya ramai yang lebih memberikan pendapat masing-masing. Memang betullah kan. Dah nama pun majlis dialog, tentulah masing-masing nak berdialog. Kalau nak tanya soalan dan jawab soalan sahaja, buatlah majlis soal jawab politik pemuda Subang pulak.

Program habis hampir pukul 1 pagi.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

13 Mei 2008

Lawatan Kerja Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Ke UMNO Bahagian Subang


Malam tadi telah berlangsung satu program ringkas di Dewan MBSA Paya Jaras, Seksyen U19.

Program yang bermula dari jam 8.30 malam itu didahului dengan acara makan minum yang disertai oleh semua ahli yang hadir.

Jam 9 lebih menyaksikan ketibaan Y.B. Senator Tan Sri Muhammad Bin Muhd Taib. Selepas bersalaman dengan ahli-ahli, beliau pun menyertai acara makan minum yang sedang berlangsung.

Tepat jam 9.30 malam, acara di dalam dewan pun dimulakan. Semua barisan pimpinan UMNO Bahagian hadir kecuali Ketua Puteri UMNO Bahagian, Pn. Nora Azmin, yang dikhabarkan sedang menjalani ibadah umrah. Tempatnya diwakili oleh timbalannya, Pn. Fazlina.

Setelah doa dibacakan, Dato' Ketua UMNO Bahagian memberikan ucapan ringkasnya. 10 minit sahaja. Kemudian tibalah masa yang dinantikan oleh ahli-ahli yang hadir iaitu ucapan oleh Tan Sri Muhammad.

Dalam ucapannya, Tan Sri Muhammad menyentuh isu-isu semasa yang berlaku seperti krisis makanan dan minyak serta isu berkaitan 'survival' Melayu.

Program ditamatkan dengan serta merta sebaik sahaja Dato' Ketua UMNO Bahagian menyampaikan sebakul cenderahati kepada Tan Sri Muhammad.

Yang menarik dalam program kali ini bukanlah pimpinan UMNO yang ada, tapi pilihan makanan yang disediakan.

Kebiasaannya nasi berlauk yang menjadi pilihan, kini hanya mee hun yang menjadi hidangan.

Jangan sekali-kali gunakan garpu plastik untuk mencucuk ubi yang telah keras.

Kali pertama juga rasanya ubi menjadi pilihan untuk dihidangkan untuk program seperti ini. Adakah ianya satu simbolik? Beras naik, gandum naik, makan ubi lah jawabnya.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

25 April 2008

Majlis Penghargaan Petugas-Petugas Jentera Pilihanraya Puteri UMNO Bahagian Subang

Puteri-puteri Desa Jaya

Malam tadi telah berlangsung satu majlis yang dianjurkan oleh Puteri UMNO Bahagian Subang untuk menghargai para petugas jentera pilihanraya Puteri semasa PRU ke 12 yang lepas.

Selain dari AJK UMNO Bahagian, AJK Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian turut di jemput. Cuma kelibat Wanita sahaja yang tidak kelihatan semasa majlis tersebut. Puteri dan Wanita Bahagian ni macam ada apa-apa je. Takkan tak sebulu kot.

Ketua Puteri UMNO Bahagian, Kak Nora kelihatan termengah-mengah ketika memberikan ucapan kerana sedang sarat mengandung.

Lepas Kak Nora, Dato' Mokhtar pula yang berucap. Tak sempat bismillah, terus je speaking omputih pung pang pung pang. Yang baiknya pasal ucapannya kali ini... dalam 20 minit je.

Yang dapat diperhatikan atau lebih didengari semasa ucapan Dato' Mokhtar tu, suasana dalam dewan tu macam dalam pasar borong selayang bisingnya. Yang kat depan pung pang pung pang, yang kat belakang pok pek pok pek. Berbeza dengan majlis yang dianjurkan oleh Pemuda di tempat yang sama, pemuda lebih menumpukan perhatian kepada pemimpin yang berucap (bukan nak backing Pemuda, cuma melaporkan kenyataan).

Lepas ucapan tu, masing-masing pun melurulah ke tempat menghidangkan makanan untuk mengisi perut yang kelaparan.

Sambil-sambil makan tu, ada la dibuat acara cabutan ejaan nama bertuah.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

31 Mac 2008

Majlis Sambutan Maulidur Rasul UMNO Cawangan Taman Ehsan Timur


Malam tadi telah berlangsung majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran UMNO Cawangan Taman Ehsan Timur yang dihadiri oleh ADUN Paya Jaras, Y.B Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Ketua UMNO Cawangan Taman Ehsan Timur, Hj. Shukur Bin Hj. Mahmud telah membuat satu deklerasi bahawa UMNO Cawangan Taman Ehsan Timur berdiri teguh menyokong Y.B Bushro untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Subang semasa pemilihan UMNO nanti. Beliau menyatakan, apa yang diperlukan sekarang adalah pemimpin yang sentiasa dekat bersama rakyat dan ahli bukannya pemimpin yang hanya ada ketika senang, tapi hilang/lari apabila keadaan menjadi susah.

Dalam ucapan Y.B Bushro pula, beliau mengatakan UMNO perlu membuat strategi baru untuk menawan semula Selangor seperti menggunakan internet sepenuhnya dengan membangunkan laman-laman web dan blog untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak non-BN.

Beliau turut memaklumkan berkenaan peruntukan untuk ADUN-ADUN dari kerajaan negeri. Beliau akan memastikan agar kerajaan negeri tidak menghalang atau menapis peruntukan-peruntukan tersebut dari ADUN-ADUN BN kerana tanpa peruntukan tersebut, adalah sukar untuk ADUN menjalankan khidmatnya kepada rakyat. Jangan nanti kerajaan negeri sekarang kata ADUN BN tak buat kerja sedangkan peruntukan tidak diberi.

Majlis disudahi dengan jamuan dan borak-borak sana-sini.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

Pusat Khidmat Rakyat PKR


Pada 29 Mac yang lepas, parti PKR telah mengadakan program perasmian Pusat Khidmat Rakyat PKR bagi Parlimen Subang dan Selayang di Taman Ehsan. Ianya dirasmikan oleh Ahli Parlimen Subang, En. S. Sivarasa, Ahli Parlimen Selayang, En. William Leong dan ADUN Bukit Lanjan, Cik Elizabeth Wong.

Ketika penulis tiba di tempat kejadian, kedengaran suara orang berucap seakan-akan seorang India yang memberikan ucapan, tapi bila dilihat, rupa-rupanya Dr. Badrul Amin, ahli MPT (Majlis Pimpinan Tinggi-melangit) PKR yang sedang memberikan ucapan. Inilah padahnya apabila dasar berbilang kaum cuba dihapuskan oleh PKR. Yang melayu boleh jadi India, yang India boleh jadi Cina. Masing-masing hilang identiti bangsa dan bahasa. Jangan nanti agama pun turut bercampur aduk dalam sebuah keluarga sepertimana yang berlaku di Indonesia.

Dr. Badrul Amin mengambil kesempatan untuk melancarkan kutipan derma bagi menanggung kos penyelenggaraan pusat khidmat rakyat mereka. Membuat kutipan derma semasa sebarang acara memang merupakan amalan tradisi parti non-BN yang dipelopori oleh PAS.

Memang sesuai dengan manifesto mereka untuk menjadikan negara Malaysia sebagai Negara Berkebajikan, iaitu rakyatlah yang terpaksa berbuat kebajikan dengan memberikan sumbangan kepada pihak pemerintah, sedangkan pihak pemerintahlah yang patut memberikan sumbangan kepada rakyat yang telah memilih mereka.

Sudahnya rakyat di Parlimen Subang dan Selayang terpaksa berkhidmat dahulu untuk pusat tersebut dengan memberikan sumbangan kewangan sebelum pusat tersebut memberikan khidmatnya kepada rakyat. Nampaknya sumbangan undi yang diberikan rakyat masih tidak mencukupi buat mereka.

Seterusnya Dr. Badrul Amin dengan yakin menyatakan bahawa tidak lama lagi PKR akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara kerana seramai 35 orang Ahli Parlimen telah bersetuju untuk menyertai PKR.

Kemudian tiba pula giliran ADUN Bukit Lanjan, Cik Elizabeth Wong memberikan ucapannya yang ‘kalau tak berucap pun tak apa’ kerana ramai hadirin yang hadir tidak memberikan perhatian kepadanya ketika beliau berucap memandangkan penyampaiannya yang agak lemah dalam semua bahasa hatta bahasa ibundanya sendiri.

Di samping itu juga, beliau mewar-warkan beberapa fakta atau berita yang telahpun sedia diketahui umum seperti 20 meter padu pertama air secara percuma. Persoalan yang sepatutnya beliau utarakan adalah perincian pemberian air percuma tersebut, adakah hanya untuk pemilik meter persendirian seperti rumah-rumah teres dan rumah kampung? Bagaimana pula dengan nasib pengundi pengundi yang mendiami kawasan flat yang mana mereka ini menggunakan sistem meter berkelompok. ...dan banyak lagi sebenarnya persoalan yang sepatutnya disentuh oleh Cik Elizabeth tetapi hanya kelihatan macam syok sendiri dengan senyuman panjang lebarnya mengumumkan kadar air percuma yang akan dilaksanakan pada 1 Jun tahun ini (itu pun belum tentu lagi, setelah tarikh 1 April dibatalkan sebelum ini).

Program tersebut diteruskan dengan ucapan oleh Ahli Parlimen Selayang, En. William Leong. Juga bukan sebuah ucapan yang menarik, cuma di akhir ucapannya beliau menyebut akan berusaha untuk melupuskan bayaran letak kereta dalam Parlimen Subang dan Selayang sepertimana yang dilakukan dalam Parlimen Kepong.

Dari segi kehadiran, dianggarkan beberapa ratus orang, berdasarkan jumlah ayam goreng sebanyak 1000 ketul yang telah disediakan untuk jamuan, mengikut kata seorang petugas PKR.

Antara yang kelihatan di dalam kelompok hadirin tersebut, beberapa orang ahli UMNO sendiri yang datang dengan agenda masing-masing. Ada yang datang sekadar mahu menikmati jamuan nasi beriani gam yang disediakan, ada yang datang untuk membuat tinjauan, malah ada juga yang terus menyarung t-shirt PKR yang ditaja dan menjadi petugas PKR untuk program tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Cikgu Amir (Ketua UMNO Cawangan Taman Daya). Hanya orang tempatan sahaja yang kenal dengan kemanikaman Cikgu Amir.

Juga dimaklumkan, jamuan nasi beriani, air minuman, khemah dan sebagainya adalah di'taja' (sponsored). Dalam dunia politik dan perniagaan, istilah 'sponsor' ini berkait rapat dengan 'in return' (pulangan). Mana-mana pihak yang menaja sesuatu , sudah pasti mahukan pulangan sama ada dari segi keuntungan atau publisiti dan lain-lain lagi. Jika ada pihak yang memberikan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa, itu dipanggil 'sedekah' bukan 'tajaan'.

Jika PKR mengambil pendekatan untuk meneruskan amalan menerima 'sponsorship' dari taukeh-taukeh perniagaan, maka PKR akan terpaksa lebih terhutang budi kepada taukeh-taukeh ini daripada terhutang budi kepada rakyat yang telah meng'sponsor' undi kepada parti non-BN sehingga mereka boleh memerintah negeri.

Satu-satunya perkara yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Rakyat PKR ini adalah kesesakan lalulintas. Tiada usaha diambil untuk mengawal keadaan lalulintas seperti mengadakan petugas kawalan lalulintas ataupun paling tidak meminta khidmat RELA. Alangkan PAS buat ceramah dalam kebun getah pun ada petugas trafiknya sendiri supaya hadirin tidak termasuk ke kebun getah orang lain, inikan buat program di tepi jalan utama dan bulatan besar Taman Ehsan.

Walauapapun, diharapkan pusat khidmat tersebut dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan dan 'adil' tanpa mengambil kira dari parti mana rakyat tersebut datang untuk mendapatkan khidmat dan bantuan.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

04 Mac 2008

Makan Malam Pemuda Bersama Calon BN DUN N.39 Kota Damansara



Malam tadi di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara telah diadakan satu majlis makan-makan Pemuda BN Subang dengan calon BN-UMNO bagi kerusi DUN N.39 Kota Damansara, Y.Bhg. Dato' Hj. Zein Isma Bin Hj. Ismail.

Y.Bhg. Dato' yang datang dengan berkain pelekatnya, memberikan teguran terhadap petugas-petugas poster yang memasang poster dengan cara yang kurang kemas. Ini mengakibatkan banyak poster yang jatuh dan rosak sehari dua selepas dipasang.



Y.Bhg. Dato' juga menasihatkan kepimpinan pemuda yang sedia ada supaya mencari pelapis-pelapis yang akan menggantikan mereka memandangkan ramai antara golongan pemuda yang sudah tiba ke penghujung musim.

Walaupun tidak kelihatan sama ada Y.Bhg Dato' turut menjamu selera atau tidak, namun itu tidak menghalang sekalian pemuda yang ada untuk menjamu selera dengan penuh semangat.

Seterusnya Sdra. Megat Firdouz mengambil alih mikrofon untuk menyatakan apa yang terbuku dalam benak fikirannya. Beliau agak bimbang dengan gelombang kelabu-kelabu gelap yang hampir menjadi hitam seluruhnya di beberapa kawasan.



Beliau merasakan Pemuda BN masih belum bergerak secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan untuk Barisan Nasional dicapai.

Beliau menasihatkan para Pemuda supaya bekerjasama antara satu sama lain walaupun berlainan tugasan dan portfolio dan sentiasa menjaga nama baik parti dan Barisan Nasional.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

26 Februari 2008

Lawatan Calon BN Bagi Parlimen Subang Ke Bilik Gerakan


Malam hari 26 Februari 2008 ini dimeriahkan lagi dengan lawatan En. S. Murugesan, calon Barisan Nasional bagi kerusi P.107 Parlimen Subang.

Dalam ucapan ringkas yang sempat diberikannya dalam mesyuarat Ketua-ketua K10 Daerah Mengundi DUN Bukit Lanjan yang diadakan di sini, beliau meluahkan rasa penghargaan tidak terhingga kepada para wanita K10 yang bertungkus lumus dalam tugasan mereka walaupun tanpa mengetahui siapakah calon yang akan bertanding atas tiket BN.

Oleh itu, beliau berjanji akan membalas kembali jasa-jasa K10 dalam masa 5 tahun hidupnya sebagai Ahli Parlimen Subang kelak.

Pengarah JP DM 107/37/07, En. Nasaruddin sempat memberikan taklimat ringkas kepada En. S. Murugesan berkenaan perjalanan jentera serta Bilik Gerakan 107/37/07 yang sentiasa aktif disamping menyediakan kemudahan Wi-Fi, 'buffet' untuk para petugas, Bilik Komputer dan sebagainya.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

K10 Ada Mariii...

Kali ini giliran Ketua K10 DUN Bukit Lanjan, Pn. Rogayah bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Subang, Pn. Halimaton pula untuk turun ke Bilik Gerakan 107/37/07.


Turut serta adalah Ketua-ketua K10 dari jentera-jentera pilihanraya daerah mengundi DUN Bukit Lanjan.


Sepertimana dalam sebarang mesyuarat atau taklimat yang diadakan semasa tempoh pilihanraya ini, peruntukan menjadi agenda utama perbincangan.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

25 Februari 2008

Y.B. Ke Pasar Malam


Calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Bukit Lanjan, Y.B. Datin Paduka Yong Dai Ying, turun padang membuat lawatan ke pasar malam yang diadakan setiap hari Isnin di sepanjang Jalan 18, Desa Jaya.

Y.B. Datin Paduka bersalaman dengan para pengunjung pasar malam tersebut dan beramah mesra dengan para peniaga yang ada di situ. Poster-posternya turut diagih-agihkan kepada para peniaga.

Tidak kelihatan pula sama ada Y.B. Datin Paduka ada membeli sesuatu atau tidak. Yang pasti, kehadiran Y.B. Datin Paduka beserta rombongannya yang turut disertai oleh jentera-jentera Daerah Mengundi 107/37/01 dan 107/37/07, telah menyebabkan kesesakan yang luar biasa di sepanjang lorong pasar malam tersebut.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

24 Februari 2008

Kejohanan Futsal Terbuka


Program anjuran Puteri DUN Bukit Lanjan ini telah diadakan semalam (23 Februari 2008) bertempat di gelanggang futsal bersebelahan gelanggang silat bersebelahan dewan serbaguna bersebelahan padang bolasepak di Taman Ehsan.

Walaupun sasaran kumpulan pemain futsal adalah 10 pasukan, hanya 5 pasukan sahaja yang menyertai kejohanan ini.

Walau apa pun, kejohanan yang diuruskan dengan setia oleh Ketua Puteri UMNO Caw. Desa Jaya, Pn. Azlin Fadzlina ini, mencapai matlamatnya untuk mengeratkan silaturrahim disamping menyihatkan tubuh badan dengan beriadah.

Kejohanan dirasmikan oleh Pemangku Ketua UMNO Caw. Desa Jaya, En. Nasaruddin Bin Ahmad dan penutupan oleh wakil Puteri DUN Bukit Lanjan.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

17 Februari 2008

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Bukit Lanjan 2008


Sebagai memenuhi undangan dari pihak ADUN Bukit Lanjan, Tuan Pemangku Ketua beserta beberapa orang ahli UMNO yang lain telah berangkat ke S.R.J.K (C) Desa Jaya untuk memeriahkan lagi program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Ahli DUN Bukit Lanjan, Y.B Datin Paduka Yong Dai Ying.

Dengan jumlah kehadiran jemputan yang begitu ramai, perbagai jenis juadah dan minuman disediakan. Di samping itu, beberapa persembahan kebudayaan Cina seperti tarian naga dan permainan alat muzik tradisional turut dipertontonkan kepada para jemputan.

Program turut diserikan dengan ketibaan Ahli Parlimen Subang, Tan Sri K. S. Nijhar yang disambut dengan paluan gendang tarian naga.

Dari kehadiran jemputan yang terdiri dari pelbagai kaum dan peringkat, jelas menunjukkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia amnya dan di Desa Jaya khasnya masih lagi utuh, bukannya sebagaimana yang di dakwa oleh pihak pembangkang bahawa isu perkauman di Malaysia semakin kritikal.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

15 Februari 2008

Majlis Suai Kenal dan Pemantapan JP DM 107/37/07


Program lawatan Pengarah JP DUN yang sepatutnya diadakan pada jam 9.00 malam telah digantikan dengan majlis suai kenal serta taklimat untuk para petugas JP DM 107/37/07.

Ahli Parlimen Subang, Tan Sri K. S. Nijhar serta ADUN Bukit Lanjan, Y.B. Datin Paduka Yong Dai Ying tidak berkesempatan untuk hadir pada majlis ini.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Sdra. Megat Firdouz Bin Tan Sri Megat Junid dan beberapa orang AJK Pemuda UMNO Bahagian yang sudi meluangkan masa untuk hadir bersama memeriahkan majlis ini.

Sdra. Megat Firdouz turut memberikan ucapan untuk menaikkan lagi semangat para petugas, terutamanya petugas-petugas Pemuda.

Para hadirin telah dijamu dengan satay, mee hoon goreng, kuih muih serta air teh 'o'.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
Setiausaha

Lawatan Pengarah JP DUN ke Bilik Gerakan JP DM 107/37/07


Walaupun masa asal lawatan telah berubah, namun ianya tidak menghalang sebahagian besar ketua-ketua portfolio untuk menghadirkan diri. Ada antaranya yang meminta perlepasan kerja awal dan tak kurang juga yang memonteng.

Ketibaan Pengarah JP DUN, Y. Bhg. Dato' Hj. Zein Isma disambut mesra oleh Pengarah JP DM, En. Nasaruddin. Beliau terus membuat lawatan sekitar Bilik Gerakan. Kemudian Y. Bhg. Dato' terus memulakan taklimat pilihanraya, menerangkan perkara-perkara yang penting untuk dijadikan panduan dan ingatan petugas-petugas jentera pilihanraya.

Laporan penuh tidak dapat diberikan kerana Setiausaha JP DM terpaksa mencabutkan diri terlebih awal untuk menjemput anak dan isterinya.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
Setiausaha

12 Februari 2008

Lawatan ke Bilik Gerakan Sri Damansara Utara


Pada 10 Februari 2008 yang lepas, tiba giliran Bilik Gerakan Daerah Mengundi Sri Damansara Utara pula untuk menerima kunjungan dari pihak Jentera Pilihanraya DUN Bukit Lanjan.

En. Zulkifli Md Taft selaku Pengarah Jentera Pilihanraya Daerah Mengundi Sri Damansara Utara memberikan penerangan tentang persiapan jenteranya dan kesediaan jenteranya untuk bergerak pada bila-bila masa sahaja parlimen dibubarkan.

Sementara menantikan kehadiran Y.Bhg. Dato' Hj. Zein Isma, Tn. Hj. Suhaimi Sameon selaku Timbalan Pengarah Jentera Pilihanraya DUN Bukit Lanjan memberikan taklimat ringkas berkenaan gerak kerja jentera yang perlu dilaksanakan.

Seterusnya, Y.B Datin Paduka Yong Dai Ying memaklumkan adalah menjadi tugasnya untuk memantau persediaan jentera-jentera parti disemua peringkat bagi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya umum nanti. Y.B Datin Paduka juga mengalu-alukan sebarang cadangan dan aduan masalah dari jentera-jentera untuk diambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihanraya DUN Bukit Lanjan, Y.Bhg. Dato' Hj. Zein Isma masih belum tiba ke bilik gerakan kerana terperangkap dalam kesesakan jalanraya.

Program disusuli dengan jamuan roti jala, pulut kuning, teh 'o' dan kopi 'o'.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

06 Februari 2008

Perasmian Bilik Gerakan Jentera Pilihanraya DUN Bukit Lanjan


Bilik Gerakan Jentera Pilihanraya DUN Bukit Lanjan yang terletak di Dewan JKKK Kg. Kayu Ara telah sempurna dirasmikan oleh YB Dato' Hj. Mohd Mokhtar Bin Hj. Ahmad Dahlan.

Semasa majlis perasmian tersebut, Ahli Parimen Subang, Tan Sri Karnail Singh Nijhar telah sudi untuk menurunkan peruntukan berjumlah RM42,000.00 (RM1,000.00 untuk setiap daerah mengundi dalam Parlimen Subang) dan tambahan RM20,000.00 bagi setiap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Semoga dengan lonjakan kewangan ini akan melicinkan lagi gerak kerja jentera untuk menghadapi pilihanraya yang semakin hampir.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

03 Februari 2008

Majlis Sambutan Ma'al Hijrah dan Ramah Mesra Ahli Dengan Pemimpin



Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Sdra. Rashidi selaku Juruacara Majlis. Ia diikuti dengan bacaan tahlil yang diterajui oleh Us. Misran. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi Urusetia Majlis, Sdra. Nasaruddin.

Majlis kemudiannya mempersilakan YB. Dato' Hj. Mohd Mokhtar selaku Ketua UMNO Bahagian Subang untuk memberikan ucapan dan selanjutnya merasmikan majlis yang seadanya ini.

Dikesempatan yang ada, YB Dato' Ketua telah sudi untuk melancarkan laman blog UMNO Cawangan Desa Jaya dengan rasminya. Sdra. Nasaruddin, mewakili pihak Urusetia dan UMNO Cawangan Desa Jaya, menyerahkan cenderahati dan hamper kepada YB Dato' Ketua UMNO Bahagian Subang, Y.Bhg Sdra. Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang serta Y.Bhg Us. Misran.

Jamuan makan menyusuli, para hadirin seterusnya mengambil peluang untuk beramah mesra dengan para pemimpin yang hadir sebelum majlis bersurai.

18 Januari 2008

Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil dan Solat Sunat Hajat

Malam tadi, bertempat di Masjid Al-Faizin, Desa Jaya, telah berlangsung majlis bacaan Yaasin diikuti dengan tahlil selepas Solat Maghrib. Ini diikuti pula dengan menunaikan Solat Isyak dan Solat Sunat Hajat untuk mendoakan keselamatan dan kepulangan adik Sharlinie @ Nini yang telah hilang sejak 09 Januari 2008 yang lalu.

Marilah kita sama-sama menghulurkan sokongan dalam apa jua cara. Antaranya, anda boleh turut membantu usaha pencarian adik Sharlinie dengan menampal poster dibawah ini di tempat yang sesuai.


Muaturun Poster 'DI MANA SHARLINIE?' DISINI
Ikuti juga perkembangan terkini pencarian adik Sharlini DISINI

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

11 Januari 2008

'Dry Run' Pilihanraya Peringkat Parlimen Subang

'Dry Run'? Larian Kering? Abis kalau 'Wet Caught' tu tangkap basah? Kenapa tidak digunakan sahaja perkataan Bahasa Melayu yang telah sedia ada seperti 'Raptai Pilihanraya' atau 'Pilihanraya Olok-olok'. Asyik memperjuangkan nasib bangsa Melayu sehingga terlupa dengan nasib bahasa Melayu. Kalau bukan bangsa kita sendiri yang mempertahankan Bahasa Melayu, takkan nak harapkan bangsa Red Indian di Amerika.

Jentera Pilihanraya UMNO Cawangan bagi Daerah Mengundi 107/37/07 bersedia seawal jam 7 pagi. Apa-apa hal... kita minum duluuuu...

Berbalik kepada 'Larian Kering' yang telah diadakan pada 5 Januari 2008 di Kg. Sungai Kayu Ara, sememangnya acara tersebut kekeringan pengundi-pengundi kering yang datang untuk mengeringkan undi. Peratusan kekeringan pengundi yang jauh tersasar dari jangkaan, tidak dapat mengeringkan baju-baju Pengarah-pengarah Jentera serta petugas yang berpeluh akibat ditegur secara kering-keringan oleh YB Dato' Ketua Bahagian dan juga Y.Bhg. Dato' Timbalan Ketua Bahagian.

Namun itulah tujuan sebenar pilihanraya olok-olok ini diadakan, untuk mengenalpasti kelemahan jentera dan memperbaikinya, bukannya untuk bermegah-megah dengan kekuatan dan pengaruh serta sekadar menjadi 'Juara Kertas'.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
Setiausaha

Multimedia