31 Mac 2008

Pusat Khidmat Rakyat PKR


Pada 29 Mac yang lepas, parti PKR telah mengadakan program perasmian Pusat Khidmat Rakyat PKR bagi Parlimen Subang dan Selayang di Taman Ehsan. Ianya dirasmikan oleh Ahli Parlimen Subang, En. S. Sivarasa, Ahli Parlimen Selayang, En. William Leong dan ADUN Bukit Lanjan, Cik Elizabeth Wong.

Ketika penulis tiba di tempat kejadian, kedengaran suara orang berucap seakan-akan seorang India yang memberikan ucapan, tapi bila dilihat, rupa-rupanya Dr. Badrul Amin, ahli MPT (Majlis Pimpinan Tinggi-melangit) PKR yang sedang memberikan ucapan. Inilah padahnya apabila dasar berbilang kaum cuba dihapuskan oleh PKR. Yang melayu boleh jadi India, yang India boleh jadi Cina. Masing-masing hilang identiti bangsa dan bahasa. Jangan nanti agama pun turut bercampur aduk dalam sebuah keluarga sepertimana yang berlaku di Indonesia.

Dr. Badrul Amin mengambil kesempatan untuk melancarkan kutipan derma bagi menanggung kos penyelenggaraan pusat khidmat rakyat mereka. Membuat kutipan derma semasa sebarang acara memang merupakan amalan tradisi parti non-BN yang dipelopori oleh PAS.

Memang sesuai dengan manifesto mereka untuk menjadikan negara Malaysia sebagai Negara Berkebajikan, iaitu rakyatlah yang terpaksa berbuat kebajikan dengan memberikan sumbangan kepada pihak pemerintah, sedangkan pihak pemerintahlah yang patut memberikan sumbangan kepada rakyat yang telah memilih mereka.

Sudahnya rakyat di Parlimen Subang dan Selayang terpaksa berkhidmat dahulu untuk pusat tersebut dengan memberikan sumbangan kewangan sebelum pusat tersebut memberikan khidmatnya kepada rakyat. Nampaknya sumbangan undi yang diberikan rakyat masih tidak mencukupi buat mereka.

Seterusnya Dr. Badrul Amin dengan yakin menyatakan bahawa tidak lama lagi PKR akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara kerana seramai 35 orang Ahli Parlimen telah bersetuju untuk menyertai PKR.

Kemudian tiba pula giliran ADUN Bukit Lanjan, Cik Elizabeth Wong memberikan ucapannya yang ‘kalau tak berucap pun tak apa’ kerana ramai hadirin yang hadir tidak memberikan perhatian kepadanya ketika beliau berucap memandangkan penyampaiannya yang agak lemah dalam semua bahasa hatta bahasa ibundanya sendiri.

Di samping itu juga, beliau mewar-warkan beberapa fakta atau berita yang telahpun sedia diketahui umum seperti 20 meter padu pertama air secara percuma. Persoalan yang sepatutnya beliau utarakan adalah perincian pemberian air percuma tersebut, adakah hanya untuk pemilik meter persendirian seperti rumah-rumah teres dan rumah kampung? Bagaimana pula dengan nasib pengundi pengundi yang mendiami kawasan flat yang mana mereka ini menggunakan sistem meter berkelompok. ...dan banyak lagi sebenarnya persoalan yang sepatutnya disentuh oleh Cik Elizabeth tetapi hanya kelihatan macam syok sendiri dengan senyuman panjang lebarnya mengumumkan kadar air percuma yang akan dilaksanakan pada 1 Jun tahun ini (itu pun belum tentu lagi, setelah tarikh 1 April dibatalkan sebelum ini).

Program tersebut diteruskan dengan ucapan oleh Ahli Parlimen Selayang, En. William Leong. Juga bukan sebuah ucapan yang menarik, cuma di akhir ucapannya beliau menyebut akan berusaha untuk melupuskan bayaran letak kereta dalam Parlimen Subang dan Selayang sepertimana yang dilakukan dalam Parlimen Kepong.

Dari segi kehadiran, dianggarkan beberapa ratus orang, berdasarkan jumlah ayam goreng sebanyak 1000 ketul yang telah disediakan untuk jamuan, mengikut kata seorang petugas PKR.

Antara yang kelihatan di dalam kelompok hadirin tersebut, beberapa orang ahli UMNO sendiri yang datang dengan agenda masing-masing. Ada yang datang sekadar mahu menikmati jamuan nasi beriani gam yang disediakan, ada yang datang untuk membuat tinjauan, malah ada juga yang terus menyarung t-shirt PKR yang ditaja dan menjadi petugas PKR untuk program tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Cikgu Amir (Ketua UMNO Cawangan Taman Daya). Hanya orang tempatan sahaja yang kenal dengan kemanikaman Cikgu Amir.

Juga dimaklumkan, jamuan nasi beriani, air minuman, khemah dan sebagainya adalah di'taja' (sponsored). Dalam dunia politik dan perniagaan, istilah 'sponsor' ini berkait rapat dengan 'in return' (pulangan). Mana-mana pihak yang menaja sesuatu , sudah pasti mahukan pulangan sama ada dari segi keuntungan atau publisiti dan lain-lain lagi. Jika ada pihak yang memberikan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa, itu dipanggil 'sedekah' bukan 'tajaan'.

Jika PKR mengambil pendekatan untuk meneruskan amalan menerima 'sponsorship' dari taukeh-taukeh perniagaan, maka PKR akan terpaksa lebih terhutang budi kepada taukeh-taukeh ini daripada terhutang budi kepada rakyat yang telah meng'sponsor' undi kepada parti non-BN sehingga mereka boleh memerintah negeri.

Satu-satunya perkara yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Rakyat PKR ini adalah kesesakan lalulintas. Tiada usaha diambil untuk mengawal keadaan lalulintas seperti mengadakan petugas kawalan lalulintas ataupun paling tidak meminta khidmat RELA. Alangkan PAS buat ceramah dalam kebun getah pun ada petugas trafiknya sendiri supaya hadirin tidak termasuk ke kebun getah orang lain, inikan buat program di tepi jalan utama dan bulatan besar Taman Ehsan.

Walauapapun, diharapkan pusat khidmat tersebut dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan dan 'adil' tanpa mengambil kira dari parti mana rakyat tersebut datang untuk mendapatkan khidmat dan bantuan.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

Multimedia