27 Mac 2008

Dasar Penampung Selangor 2008

Utusan Malaysia - Majikan di Selangor perlu bayar RM100 bagi setiap pekerja asing

SHAH ALAM 26 Mac – Kerajaan negeri bercadang mewajibkan semua majikan menyumbang RM100 setahun bagi setiap pekerja asing untuk disalurkan kepada dana khas pembangunan belia negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dengan sumbangan antara RM9 dan RM10 sebulan itu, kerajaan negeri mampu membuat perancangan untuk golongan belia dan pekerja asing yang bermastautin di Selangor.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengatakan cadangan beliau itu bersifat memeras masyarakat.

“Saya berpendapat RM9 sebulan adalah angka yang sangat kecil, boleh jadi harga tiga nasi lemak untuk di makan tiga hari tetapi ini untuk sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid menjelaskan, kebanjiran begitu ramai pekerja asing di Selangor menimbulkan persaingan kepada belia tempatan untuk mendapatkan pekerjaan yang menjadi antara punca masalah pengangguran.

Sehubungan itu, menurut beliau, pihaknya akan meminta kerajaan Persekutuan menyalurkan maklumat berhubung perkembangan buruh asing di negeri ini.

Beliau berkata, mesyuarat Exco hari ini juga bersetuju mengekalkan kadar sewa tanah sebanyak RM1 setahun kepada sekolah-sekolah dan rumah ibadat di negeri ini.

“Dengan itu, kita akan dapat memberi mereka sokongan dalam menjalankan aktiviti,” katanya yang turut menjelaskan polisi berhubung pembinaan rumah ibadat di setiap kawasan perumahan masih kekal.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi meluluskan pemberian tanah kepada individu sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Sebaliknya, Khalid berkata, tanah di Selangor akan hanya diberi kepada institusi yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri.

Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan campurtolakbahagidarab pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memang sudah dijangka.

Jangkaan itu berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PAS di Kelantan termasuk Terengganu yang pernah dikuasai mereka. Dengan menghapuskan atau menurunkan serta memberikan pelbagai perkara secara percuma, yang semata-mata terpaksa dilakukan kerana terbelit dengan janji-janji semanis gula yang mereka taburkan untuk mendapatkan sokongan rakyat, ...menyebabkan kerajaan negeri kehilangan banyak sumber kewangan bagi menanggung kos memerintah negeri.

Mahu tak mahu, mereka perlu mencari sumber kewangan lain bagi menampung kerugian sumber kewangan kerajaan negeri, yang mana mereka sendiri yang menyebabkan kerugian tersebut.

Langkah mengenakan caj sehingga RM100 setahun bagi setiap pekerja asing yang diambil bekerja adalah perkara permulaan dari banyak lagi perkara-perkara yang akan dilaksanakan dalam Dasar Penampung Selangor 2008 (DPS) bagi menampung kerugian yang akan dihadapi oleh kerajaan campurtolakbahagidarab ini.

Merujuk kepada keputusan mesyuarat exco untuk 'mengekalkan' kadar sewa tanah sekolah-sekolah dan rumah ibadat, dapat difahami bahawa adanya usul yang telah dibawa ke dalam mesyuarat tersebut untuk menaikkan kadar sewa tanah sekolah dan rumah ibadat tersebut. Mungkin untuk tidak menampakkan sangat agenda DPS mereka, maka kadar sewa tersebut dikekalkan. Namun itu tidak menghalang mereka untuk menaikkannya kelak.

Merujuk pula kepada kata YAB Menteri Besar berkenaan pemberian tanah yang hanya akan diberikan kepada institusi yang rapat dengan kerajaan negeri, tidakkah ini yang dinamakan sistem kroni dan pilih kasih? Kalau dahulu begitu dahsyat mereka membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan tentang salahguna kuasa, kronisme dan sebagainya terhadap kerajaan negeri terdahulu dibawah pimpinan Barisan Nasional, kini apabila mereka sendiri berada ditampuk pemerintahan... LU PIKIR LAA SENDIRI.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

Multimedia