Mingguan Malaysia - 'Lembu punya susu, sapi dapat nama'
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
IPOH 31 Mei - Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Perak cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya dengan mendakwa berjaya menarik pelaburan hampir RM22 bilion ke negeri ini sejak mereka berkuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Zambry Abdul Kadir yang kecewa dengan tindakan itu mencabar kerajaan campuran Perak menamakan satu projek bernilai berbilion-bilion ringgit yang masuk ke negeri ini sejak tiga bulan lalu.
Katanya, rakyat mengetahui projek bernilai berbilion-bilion ringgit yang disebutkan itu sebenarnya adalah hasil usaha kerajaan negeri terdahulu.
''Rakyat Perak tahu bahawa projek seperti Qatar Gulf Petroleum dan First Solar Incorporation sebenarnya dibawa oleh kerajaan terdahulu, tidak perlu membohongi rakyat mengatakan bahawa mereka mahu menarik diri tetapi kerajaan baru berjaya meyakinkan mereka semula.
''Janganlah amalkan perangai 'lembu punya susu, sapi dapat nama'. Saya ingin nasihatkan pemimpin kerajaan campuran Perak supaya belajar menjadi ahli politik yang berjiwa besar iaitu tidak rasa malu untuk menerima hakikat bahawa pelaburan yang disebutkan itu adalah hasil usaha kerajaan sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam Negeri, Nga Kor Ming yang mendakwa, Perak berjaya menarik pelaburan bernilai RM21.8 bilion ekoran keyakinan pelabur terhadap kerajaan baru itu.
Antara projek tersebut, katanya, pelaburan sebanyak RM16 bilion dari Qatar Gulf Petroleum dan RM1.5 bilion dari First Solar Incorporation dari Amerika Syarikat.
Zambry berkata, walaupun tidak lagi memerintah di Perak, Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminta syarikat-syarikat pelabur keluar dari negeri ini seperti yang didakwa kerajaan baru kerana merasakan tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara perlu diteruskan.
''Apa yang berlaku sebenarnya, saya melihat mereka pembangkang terpaksa bermain dengan isu kerana masih belum dapat memenuhi janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya lalu.
''Ini adalah satu tindakan untuk mengelirukan dan memesongkan pandangan rakyat sama sekali kerana mereka sekarang ini kelihatan seperti menghadapi satu tekanan yang amat kuat kerana janji-janji mereka semakin kabur dan tidak dapat memenuhi penanda aras 100 hari," katanya.
Beliau berkata, matlamat kerajaan campuran Perak sekarang ialah untuk mengalihkan perhatian rakyat supaya mereka tidak disalahkan kerana gagal menunaikan janji.
''Mereka cuma mahu meletakkan kesangsian rakyat dan memberi ruang kepada rakyat untuk bersembang, soal betul atau tidak nombor dua,'' katanya.
Itu di Perak. Kisahnya di sini pula, apabila karpet Masjid Al-Faizin ditukar baru, heboh diwar-warkan bahawa ianya adalah diusahakan oleh Dr. Badrul Amin Bahron (MPT PKR) sedangkan penukaran karpet itu diusahakan oleh Dato' Hj. Zein Isma (Timbalan Ketua UMNO Bahagian).
Dulu selepas baru pilihanraya, apabila beberapa jalan diturap dengan lebih cantik di sekitar Kota Damansara, pun diwar-warkan betapa bagusnya kerajaan pakatan pembangkang sedangkan kerja-kerja untuk menambahbaik sebarang insfrastruktur adalah perancangan yang telah diluluskan oleh kerajaan BN sebelum ini.
Betapa liciknya strategi mereka untuk menawan hati rakyat dengan menampakkan diri mereka sebagai penyelamat, pembawa pembangunan dan berkebajikan sedangkan mereka sebenarnya tak berbuat apa-apa kerana masih lagi sibuk berbalah tentang pembahagian kuasa dan kekayaan sesama mereka.
Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378
Dulu selepas baru pilihanraya, apabila beberapa jalan diturap dengan lebih cantik di sekitar Kota Damansara, pun diwar-warkan betapa bagusnya kerajaan pakatan pembangkang sedangkan kerja-kerja untuk menambahbaik sebarang insfrastruktur adalah perancangan yang telah diluluskan oleh kerajaan BN sebelum ini.
Betapa liciknya strategi mereka untuk menawan hati rakyat dengan menampakkan diri mereka sebagai penyelamat, pembawa pembangunan dan berkebajikan sedangkan mereka sebenarnya tak berbuat apa-apa kerana masih lagi sibuk berbalah tentang pembahagian kuasa dan kekayaan sesama mereka.
Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378


