16 Mei 2008

Komando A-Go-Go

Utusan Malaysia - Kementah diminta perjelas klip video komando

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kementerian Pertahanan diminta memberi penjelasan sama ada perlakuan memijak kepala pelatih dalam video klip yang diterima oleh seorang Ahli Parlimen, menjadi sebahagian amalan dalam modul latihan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Saifudin Nasution Ismail (PKR- Machang) berkata, kementerian perlu menyiasat perkara itu termasuk kemungkinan berlaku salah laku melibatkan jurulatih komando.

Klip video dua minit itu turut dipertontonkan kepada wakil media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurutnya, walaupun klip video itu tidak dinyatakan tarikh dan tempat kejadian namun ia mempunyai asas yang kuat untuk disiasat kerana perlakuan yang dipaparkan di luar batas kemanusiaan dan dipercayai berlaku dalam negara ini.

''Kalau baru diperkenalkan saya mahu ia diubah dan jika bukan dalam modul, saya minta disiasat dan kenakan tindakan terhadap jurulatih yang terlibat kerana ia sangat di luar kemanusiaan," katanya pada sidang akhbar yang turut disertai beberapa Ahli Parlimen PKR lain.

Menurut Saifudin, beliau terkejut melihat klip video yang dirakamkan dalam ladang sawit itu kerana perlakuan memijak kepala para pelatih komando dengan sengaja tidak wajar dilakukan walau sekeras mana pun latihan untuk mereka.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenainya esok.


Nampaknya apa yang terjadi terhadap rakyat Palestin dan Iraq yang ditindas setiap hari oleh Yahudi dan tentera penjajah Amerika, gagal dijadikan pengajaran dan peringatan oleh pihak PAS, PKR dan DAP.


Mereka asyik mencari alasan dan menimbulkan pelbagai isu untuk menghapuskan Program Khidmat Latihan Negara tanpa berfikir akibatnya nanti.

Bagaimanakah agaknya generasi muda hari ini dan akan datang merupakan generasi yang langsung tiada kekuatan mental apatah lagi fizikal. Bagaimanakah mereka ini boleh diharapkan untuk mempertahankan negara ini jika diserang?

Baru sahaja diserang dengan kejatuhan matawang, dah nak jual negara kepada pertubuhan asing. Kini, si penjual itu pula yang mahu diangkat menjadi pemimpin negara ini.

Kini mereka mempersoalkan pula latihan ataupun 'penderaan' dalam pasukan komando.

Sebagai bekas Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, En. Saifudin harus sedia maklum bahawa komando-komando yang menjalani latihan tersebut bukanlah dari kalangan pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM atau dari kalangan pelajar yang baru dicuit sedikit oleh guru, terus mengadu dengan mak abah kemudian buat laporan polis.

Pasukan komando juga tidak boleh disamakan dengan pasukan bersenjata yang lain kerana mereka mesti menjalani latihan yang terlampau untuk menguatkan fizikal dan mental mereka untuk menghadapi pihak musuh.

Kalau latihan komando setakat panjat pokok turun pokok, merangkak bawah kawat berduri dan bergayut dengan tali, rasanya ADUN Bukit Lanjan sekarang ini pun layak untuk menjadi seorang komando. Malah, mungkin menjadi sejarah kerana menjadi ADUN pertama dalam Malaysia yang berjaya menamatkan latihan komando.

En. Saifudin mungkin terlupa dengan pendedahan gambar-gambar tahanan 'pengganas Islam' tentera Amerika yang diperlakukan lebih hina dari binatang. Macamlah pihak musuh nanti akan berfikir mengenai kewajaran tindakan mereka dan menjaga batas kemanusian apabila menyeksa tahanan mereka.

Jika En. Saifudin mengemukakan hal ini sekadar untuk mencari isu dan populariti, lebih baik lupakanlah. Akibatnya nanti mungkin boleh memberi kesan kepada keutuhan pertahanan negara kita, secara mentalnya.

Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378

Multimedia