Pas sokong keputusan Anwar enggan beri DNA
KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong keputusan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keengganannya membenarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri akan dimanipulasi pihak berkuasa.
Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok di Parlimen hari ini, berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi.
“Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh di manipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar.
“Saya menyeru kepada semua agar berpegang teguh kepada prinsip Islam dan undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti kesalahannya di mahkamah yang diadili.
"Asas ini harus dipegang dalam menilai tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Di samping itu, beliau juga mengalu-alukan pembebasan Anwar namun memandang berat cara penangkapan yang dibuat terhadapnya.
“Kami memandang berat cara penangkapan Anwar yang dibuat polis semalam yang tergesa-gesa dan kasar walaupun beliau bersedia melaporkan diri dan memberi kerjasama.
“Kami akan terus berjuang dengan Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil berdasarkan suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi,” katanya.
Sebelum ini, peguam kepada Anwar, Sankara N Nair berkata anak guamnya tidak membenarkan HKL mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri ia akan dimanipulasi oleh pihak berkuasa.
Katanya mereka bimbang DNA akan dimanipulasi kerana pasukan penyiasat dalam kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 juga terbabit dalam siasatan kali ini.
Anwar, yang ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya di Bukit Segambut di sini pada 1 tengah hari semalam, dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini. — Bernama
Mengambil pendirian sahaja tidak cukup. Boleh dikatakan hampir ke semua laman web dan blog pro PAS/PKR/DAP menggunakan teknik andaian dan spekulasi ini untuk mempengaruhi pemikiran rakyat. Pendirian oleh pihak PAS ini boleh dikatakan satu pendirian yang amat hipokrit.
Sebagai contoh, kes pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak. Dengan bermodalkan sekeping gambar yang memang nyata telah diubahsuai, mereka menjaja andaian dan spekulasi mereka yang menjurus kepada tanggapan masyarakat bahawa Timbalan Perdana Menteri itu memang ada kaitan dengan kes tersebut.
Berbeza dengan kes Anwar Bin Ibrahim, kes tersebut lebih bersifat peribadi. Apa perlunya sebuah parti politik yang boleh dikatakan antara yang tertua di Malaysia ini menyatakan sokongan mereka kepada seorang individu yang bukan ahli parti mereka, bahkan individu tersebut adalah pemimpin kepada sebuah parti yang memperkecil dan mempergunakan parti PAS sebagai budak suruhan mereka sahaja sebelum dan sesudah Pilihan Raya ke 12 yang lalu.
Amat jelas kelihatan betapa kemaruknya parti PAS untuk berkuasa sehingga sanggup menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan Islam mereka.
Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378


