Utusan Malaysia - Ku Li, Muhyiddin diminta tidak tanding Presiden, Timbalan
Oleh ZULKIFLI JALIL
PUTRAJAYA 17 Julai - Pergerakan Wanita UMNO meminta Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Naib Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mematuhi persetujuan peralihan kuasa yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) yang sekali gus tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Disember ini.
Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz (gambar) berkata, kedua-duanya atau sesiapa sahaja yang berhasrat mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu meletakkan terlebih dahulu kepentingan parti mengatasi keperluan peribadi.
Katanya, sayap itu terpanggil memberikan reaksi tersebut kerana Tengku Razaleigh telah menyatakan pendirian untuk bertanding jawatan Presiden manakala Muhyiddin dilihat ada ura-ura untuk bersaing ke jawatan yang lebih tinggi.
"Memang demokrasi dalam UMNO membenarkan tapi saya harap patuhilah persetujuan peralihan kuasa oleh MT ini (pada Jun 2010). Baca Lagi...
Sebagai reaksi kepada reaksi Wanita UMNO melalui ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz, Wanita UMNO tidak sepatutnya membuat permintaan sedemikian kerana ianya bertentangan dengan perlembagaan parti serta boleh dilihat sebagai tidak langsung menghormati hak-hak ahli sepertimana yang telah termaktub dalam perlembagaan parti.
Sebagai ketua kepada sebuah sayap dalam UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz tidak sepatutnya mengajar ahli-ahli sayapnya untuk membelakangkan perlembagaan parti apatah lagi menafikan hak-hak ahli UMNO yang lain.
Dari kenyataan beliau, jelas Tan Sri Rafidah Aziz mengambil pendirian bahawa jawatan Presiden dan Timbalannya tidak boleh dipertandingkan. Kenapa Tan Sri Rafidah Aziz tidak terus membuat kenyataan "Saya tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalannya dipertandingkan"?
Pada asalnya juga, kenapa Tan Sri Rafidah Aziz perlu membuat kenyataan tersebut kepada media? Ini adalah hal dalaman parti yang berkaitan dengan kedudukan tertinggi dalam parti. Sebagai seorang ahli yang telah menjadi MT sejak era Perdana Menteri Kedua lagi, takkanlah sekurang-kurangnya tak dapat menelefon atau SMS sahaja Tengku Razaleigh dan Tan Sri Muhyiddin supaya memikirkan semula hasrat mereka untuk bertanding? Kenapa perlu dihebah-hebahkan ke seluruh Malaysia dan dunia? Kalau dalam barisan MT sendiri pun ada masalah untuk berhubung antara satu sama lain sehingga perlu menjadikan pihak media sebagai penghantar utusan mereka, apa kes?
Suhaimi Bin Abdul Wahab
02920378


